Pusat Perniagaan Wakaf Seetee Aisah Seberang Jaya yang siap dibina oleh Uda Land (North) Sdn. Bhd. telah diserahkan kepada MAINPP dalam satu majlis bersejarah yang berlangsung di perkarangan bangunan berkenaan pada 30 Oktober 2012 yang lalu. Majlis penyerahan bangunan ini telah disaksikan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di -Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas dan isteri, YABhg. Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majmor Binti Shariff.· Majlis yang berlangsung selama sejam setengah ini turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang , Y.B Dato Haji Mohd Salleh Bin Man dan disertai oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Y.Bhg. Dato' Haji Sazali Bin Haji Hussein manakala pihak UDA Land (North) Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengerusi UDA Holdings Berhad, Y.B Datuk Seri Nur Jazlan Bin Tan Sri Mohamed. Walaupun majlis ini berlangsung dalam keadaan hujan lebat, namun ramai penduduk daripada kawasan setempat telah hadir dan menyaksikan pembangunan tanah wakaf dengan binaan· pusat perniagaan di atas tanah Wakaf Seetee Aisah seluas 9.274 ekar. Bangunan yang mengandungi 27 unit kedai pejabat serta kawasan perumahan yang terdiri daripada 76· unit rumah teres dua tingkat ini bakal menyumbangkan manfaat jangka panjang kepada komuniti di daerah Seberang Perai Tengah khususnya dan seluruh negeri Pulau Pinang amnya.