Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Peraturan-Peraturan Tanah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP LAND RULE) bertempat di Dewan Syarahan, Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas.
Tuan Haji Fakhruddin bin Abd. Rahman, Ketua Unit Pembangunan Hartanah Dan Harta Wakaf memulakan sesi bengkel dengan memberikan taklimat secara keseluruhan berkaitan bengkel ini dan untuk sesi pertama, pembentangan berkaitan Peraturan-Peraturan Tanah MAINPP (Sewaan Hartanah MAINPP) disampaikan oleh Encik Shahril bin Shahrom, Ketua Unit Pengurusan dan Penyelenggaraan Premis. Bengkel ini diteruskan dengan sesi pembentangan Peraturan-Peraturan Tanah MAINPP (Pembangunan) oleh Encik Ahmad Hakimi bin Mohd Sabri, Ketua Unit Pembangunan MAINPP.
Berlangsung selama sehari, bengkel ini dihadiri wakil- wakil agensi dari PLANMalaysia@PulauPinang, Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta (MBSP) dan Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Pulau Pinang. Hadir bersama YBhg. Dato' Haji Zulkifli bin Long, Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Pulau Pinang yang turut serta membincangkan dan memberikan buah fikiran semasa bengkel berlangsung.
Di antara objektif bengkel ini adalah seperti berikut:
i. Menyediakan suatu peraturan bagi pemungutan hasil sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 81(5) sebagaimana Pihak Berkuasa Negeri mempunyai buku panduan yang dikenali sebagai Penang Land Rule, bagi memudahkan pihak pentadbir menjalankan kuasa-kuasanya yang secara tidak langsung memudahkan proses membuat keputusan di peringkat Jawatankuasa dan Majlis sendiri.
ii. Memastikan MAINPP mempunyai kaedah, borang dan bayaran yang seragam dalam pengurusan hasil MAINPP.
iii. Memudahkan ahli mesyuarat merujuk kepada Peraturan-peraturan Tanah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang bagi membuat keputusan mengenai pungutan hasil, sewaan hartanah Majlis dan penentuan bagi kadar-kadar bayaran kepada Majlis.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |