Tanggal 25 Oktober 2013 bersamaan 20 Zulhijjah 1434H (Jumaat) merupakan hari bersejarah untuk ahli - ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kerana telah berlangsungnya Majlis Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Dan Penyampaian Watikah pelantikan ahli MAINPP bagi tempoh 1 Januari 2012 – 31 Disember 2013 di istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Delegasi ahli- ahli MAINPP yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang tiba di Istana Negara pada pukul 8.30 pagi dan dimulakan dengan sesi taklimat oleh pihak pengurusan istana dan seterusnya kesemua ahli MAINPP diperkenalkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas. Baginda kemudiannya berkenan mencemar duli untuk bergambar kenang – kenangan bersama ahli – ahli MAINPP. Turut hadir di majlis tersebut adalah, Exco Agama Hal Ehwal Agama Islam, Yang Berhormat Dato’ Abdul Haji Abdul Malik Bin Abul Kasim. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seterusnya berkenan menyampaikan watikah perlantikan kepada semua ahli MAINPP dan baginda berangkat meninggalkan majlis sejurus selepas santapan. Majlis menghadap tersebut selesai pada jam 11.00 pagi.
|
|
|
|
|
|