PT Sans | Reset
A A

PROGRAM PEMBERIAN BANTUAN DAN SUMBANGAN HASIL WAKAF MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2014

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merupakan institusi yang berperanan sebagai pemegang amanah dan bertanggungjawab melaksanakan hasrat pewakaf demi menjaga kebajikan ummah. Pada setiap tahun, MAINPP akan memberi sumbangan hasil wakaf pada bulan Ramadan. Kebiasaannya penerima sumbangan akan hadir ke pejabat untuk menerima sumbangan dalam bentuk cek.         

Bermula pada tahun 2013, sumbangan disampaikan di majlis khas yang telah diadakan di Darul Hanan Pulau Pinang, Kepala Batas. Pada tahun 2014, jumlah sumbangan hasil wakaf merupakan sumbangan tertinggi iaitu sebanyak RM1.3 juta. Sehubungan itu, MAINPP mengadakan program khas bagi tujuan menyampaikan sumbangan tersebut iaitu Program Pemberian Bantuan Dan Sumbangan Hasil Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Tahun 2014.

YB. Dato’ Haji Mohd Salleh Bin Man, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah berbesar hati meluangkan masa menyampaikan sumbangan dalam program tersebut. Program yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ini turut dihadiri oleh Ahli MAINPP.

Seramai 200 orang telah dijemput ke program termasuklah waris-waris pewakaf di Pulau Pinang bagi bersama-sama menjayakan program yang berlangsung pada bulan Ramadan ini. Antaranya ialah waris Wakaf Seetee Aisah, Wakaf Alimsah Waley, Wakaf Kampung Makam, Wakaf Syed Yusof, dan Wakaf Masjid Sungai Nibong.                

Program yang berlangsung selama dua jam ini bertujuan menyampaikan mesej kepada masyarakat Islam di negeri Pulau Pinang tentang kepentingan berwakaf. Bukan itu sahaja, program sebegini dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat Islam tentang peranan institusi MAINPP sebagai pelaksana amanah pewakaf.                        

Majlis ini juga bertujuan memperingati sumbangan para pewakaf dengan adanya bacaan surah yassin dan tahlil untuk mereka yang dipimpin Sahibus Samahah Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd. Noor, Mufti Negeri Pulau Pinang yang juga merupakan salah seorang Ahli MAINPP. Di samping itu, keluarga dan waris pewakaf turut diraikan melalui jamuan berbuka puasa.            

Diharapkan program yang diadakan setiap tahun ini akan terlaksana dengan jayanya dan membawa kebaikan bersama kepada MAINPP, pewakaf, penerima manfaat wakaf dan seluruh umat Islam.

 

 aw6  aw1
 aw4  aw5
 aw2  aw3