Pada 9 hingga 10 Jun 2014 yang lalu telah diadakan satu kunjungan hormat dan lawatan rasmi ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kunjungan hormat ini diketuai oleh Yang Dipertua MAINPP, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Salleh Bin Man dan turut disertai oleh Y.B Dato’ Abdul Malik Bin Abul Kassim, Ahli MAINPP merangkap Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna. Y.B Dato’ Farizan Bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Y.B Puan Aleza Binti Sulaiman, Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Ahli-ahli MAINPP serta pegawai dan kakitangan MAINPP.
Program kunjung hormat ini dimulakan dengan pertemuan dan sesi perbincangan bersama Mejar Jeneral Y.B. Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi di MAIWP. Seterusnya diadakan sesi taklimat berkaitan MAIWP yang disampaikan oleh Ketua Pengawai Eksekutif MAIWP, Yang Berbahagia Datuk Haji Zainal Abidin Bin Jaafar. Sesi taklimat yang berjalan selama lebih kurang dua jam ini turut menyentuh tentang pembangunan, sektor organisasi dan perjawatan di MAIWP dan MAINPP.
Pada hari kedua, delegasi dari MAINPP meneruskan sesi lawatan rasmi ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam JAKIM, Encik Khairul Haffiz Bin Abdul Halim. Sesi lawatan dimulakan dengan perbincangan dua hala bersama Timbalan Ketua Pengarah Jakim (Pembangunan Insan), Dato' Haji Razali bin Shahabudin dan turut ditayangkan video korporat JAKIM berhubung latar belakang, peranan dan sumbangan JAKIM terhadap pembangunan masyarakat Islam di Malaysia.
Diharapkan dengan hasil kunjungan hormat dan lawatan rasmi ini dapat memperkukuhkan lagi jalinan hubungan di antara MAINPP dengan MAIWP serta JAKIM dalam meninggikan syiar Islam.
|
|
|
|
|
|
|
|