Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sekali lagi menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Wakaf Zakat Dan Haji (JAWHAR) dalam menjalankan projek terbaru iaitu Pembinaan Pangsapuri Kos Sederhana Rendah Butterworth.
Majlis Tandatangan Perjanjian yang diadakan di MAINPP ini dihadiri oleh Ketua Pengarah, Jabatan Wakaf Zakat Dan Haji (JAWHAR),Yang Berbahagia Datuk Anan Bin C. Mohd, Pengarah Wakaf, En. Azlan bin Abd Majid, dan beberapa pegawai dan kakitangan dari jabatan tersebut.
Manakala MAINPP pula diwakili oleh Yang Dipertua MAINPP, YB. Dato' Hj. Mohd Salleh Bin Man, Setiausaha MAINPP, YBhg. Dato’ Hj. Sazali Bin Hj.Hussein dan Pengurus Baitulmal MAINPP, Puan Putri Irhanan Binti Sapeli serta dihadiri oleh pegawai-pgawai dan kakitangan MAINPP.
Secara ringkasnya, projek yang bakal dibina di Daerah Seberang Perai Utara , Teluk Air Tawar mengandungi 2 Blok bangunan pangsapuri terdiri 152 unit rumah, dewan serbaguna, ruang kedai, tadika, 272 unit letak kereta berpagar dan pondok pengawal.
Diharapkan dengan terlaksananya projek ini, MAINPP akan dapat membantu menyediakan kemudahan kediaman kepada penduduk Islam yang berpendapatan rendah melalui kaedah sewaan ataupun pajakan. Hal ini sekaligus dapat membantu hasrat Kerajaan Persekutuan dalam usaha menyediakan unit rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.