KEJOHANAN BOLING PIALA YANG DI PERTUA MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG EDISI 2016

Buat julung-julung kalinya, Badan Kebajikan Anggota MAINPP (BKAM) di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan satu pertandingan boling bersempena Piala Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Edisi 2016 bertempat di Mega Bowling Centre, Pacific Megamall Perai Pulau Pinang pada 21 Februari 2016 bermula pada jam 2.15 petang dan berakhir sekitar jam 6.00 petang.

Pertandingan ini dirasmikan oleh YB. Dato’ Hj. Mohd. Salleh bin Man, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan telah berlangsung dengan jayanya melibatkan agensi-agensi yang terdiri daripada kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun kerajaan persekutuan, badan berkanun negeri, universiti awam dan badan korporat termasuklah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Darul Hanan Pulau Pinang, Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri Pulau Pinang, JKP SDN. BHD., Amanah Raya Berhad, Universiti Sains Malaysia, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang serta UDA Land North Sdn. Bhd. Pertandingan yang dianjurkan ini melibatkan 18 pasukan, 54 orang peserta serta dibantu oleh 26 orang kakitangan MAINPP selaku pegawai yang bertugas sepanjang pertandingan.

Setiap pasukan terdiri daripada 3 orang peserta campuran lelaki dan wanita dan setiap agensi boleh menghantar maksimum 2 pasukan. Setiap pasukan telah mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi serta kerjasama yang jitu. Namun semangat kental yang dipamerkan oleh pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah melayakkan mereka merangkul tempat pertama sekaligus menjadi pasukan sulung yang menjuarai Piala Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Edisi 2016 yang baru pertama kali dianjurkan.

Pertandingan ini berobjektifkan untuk menjalinkan kerjasama yang erat antara peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi. Pertandingan ini juga secara tidak langsung menjadi medan pertukaran idea dan kepakaran dalam suasana yang santai dan muhibah. Penganjurannya juga merupakan satu usaha murni oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dalam mewujudkan kerjasama pintar antara agensi.

Diharapkan pertandingan ini akan diadakan pada tahun hadapan dengan sambutan yang lebih hebat dan penganjuran yang lebih mantap memandangkan sambutan yang baik telah diterima oleh pihak penganjur bagi penganjuran piala edisi 2016.

 

1  2 
 3  4
 10  11