Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang berbesar hati menghadiri Majlis 'PERASMIAN SUMBANGAN UNTUK MEWAKAFKAN TANAH SECARA KAKI PERSEGI KEPADA PERSATUAN NURUL ISLAM'Di Perkarangan Madrasah Tarbiyyah Nurul Islam, Lorong Popus, Pulau Pinang.
Majlis yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd. Rashid bin Hasnon,Timbalan Ketua Menteri I Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Abdul Malik Bin Abul Kassim, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang Merangkap Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Y.B Dato Haji Mohd Salleh Bin Man,Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Program yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan kerjasama Persatuan Nurul Islam, Lorong Popus, Pulau Pinangini bertujuan untuk mengumpul dana berjumlah RM2.5 juta bagi membeli tanah dan melaksanakan kerja-kerja awal pembangunan atas Lot 278, 374 dan 375, Seksyen 15 Georgetwon, DTL. Lot-lot tanah terlibat yang mempunyai keluasan 12, 819 kaki persegi telah dirancang untuk tujuan pembangunan pendidikan dan kemasyarakatan untuk ahli persatuan dan komuniti Islam khususnya yang tinggal di dalam Bandar Georgetown.
Pengumpulan sejumlah dana berkenaan dilakukan secara mewakafkan tanah mengikut kaki persegi. Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan serendah RM200.00 untuk setiap kaki persegi bagi menyertai program wakaf ini. Penyumbang boleh menyalurkan wakaf sama ada melalui kaunter MAINPP, agen-agen kutipan wakaf yang dilantik atau melalui talian maya di laman sesawang www.danawakaf.com. Penyumbang akan menerima kupon sumbangan wakaf yang melayakkan penyumbang untuk mendapatkan rebat cukai pendapatan daripada Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN).
Selain itu, majlis perasmian sumbangan wakaf ini juga dianjurkan sebagai salah satu kerangka tindakan MAINPP bagi memupuk kesedaran yang tinggi terhadap amalan berwakaf yang memberi impak yang besar kepada pembangunan nilai insan seperti berikut:
- Mengembalikan institusi wakaf di dalam masyarakat yang akan menjadi asas panduan ke arah memupuk rasa kasih-sayang untuk menjayakan misi Islam.
- Amalan wakaf dapat mendidik jiwa manusia untuk melakukan pengorbanan dan bersikap prihatin terhadap kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan orang lain.
- Amalan berwakaf merupakan suatu amalan yang diberi ganjaran yang berterusan (berkekal)
|
|
|
|
|
|